Tuesday, March 15, 2011

Puitis biologi…(suatu ketika)

Suatu petang yang hening, terasa damai di hati ini bagi seorang graduan UiTM Shah Alam dalam jurusan kejuruteraan awam yang masih lagi menunggu tawaran kerja dari mana-mana syarikat yang sudi mengambil aku berkhidmat. Mencari sesuatu yang berfaedah untuk mengisi masa luangku yang sememangnya sangat terluang. Buku-buku yang tersusun bertingkat-tingkat di atas lantai bilik tidur kami adalah kenangan sewaktu aku masih menuntut di universiti. Pelbagai judul buku yang terdapat di situ. Satu persatu aku belek dengan niat untuk mengemas sebenarnya, disamping mencari bahan-bahan yang masih boleh digunakan. Tiba- tiba, tangan aku mencapai satu fail merah yang sangat usang, di dalamnya terdapat pelbagai barangan dan kertas –kertas yang begitu memberi makna kepada aku sejak dari sekolah menengah lagi. Setiap kali menatap fail ini, pasti pelbagai peristiwa lalu bagaikan sengaja diputarkan di dalam minda imaginasi aku, seolah-olah aku sedang menonton televisyen. Dalam berpuluh-puluh helaian kertas itu, terdapat sehelai kertas A4 yang aku lihat sudah agak kekuningan, mungkin disebabkan dimamah usianya. Di  atas kertas itu tercatit suatu yang istimewa sebenarnya, ada cerita disebaliknya. Suatu puisi semasa aku di tingkatan 4, sekadar suka-suka untuk mengisi ruang buku amal kelas bagi mengumpulkan sedikit dana untuk kelas kami. Inilah puisi yang terlukir di situ

Tajuk : Ameba

Ameba,
Kau hidup di air tawar,
Walaupun kau unisel,
Kau senantiasa bersyukur,
Ke hadrat  Illahi yang Maha Pencipta.

Ameba,
Walaupun kau sangat kecil,
Tidak dapat dilihat dek mata,
Tetapi siapa sangka,
Kau dapat hidup dan mencari makanan.

Ameba,
Kau juga seperti hidupan lain,
Iaitu perlu kepada keturunan,
Agar tidak lenyap spesismu,
Belahan dedua dan spora itulah caranya.

Ameba,
walaupun saizmu kecil,
Siapa sangka kau sentiasa berdoa,
Agar manusia diberi kebaikan oleh Allah s.w.t,
Walaupun manusia tidak menghargainya.

Ameba,
 Walau aku adalah hamba Allah yang multisel,
 Tapi kurasakan kau jauh lebih baik dariku,
Kerana kau sentiasa patuh arahan Allah dan sentiasa berzikir,
Berbanding diriku yang kadangkala melanggar perintah Allah,
Dan kadangkala melupai Allah s.w.t.

Ameba adalah makhluk Allah yang unisel, itulah yang masih tersisa di dalam ingatanku. Ia menjadi inspirasi kepada aku untuk sentiasa merendah diri pada Allah s.w.t. Bertahun telah berlalu, semoga semua ini diberi ganjaran Allah dan di beri keredhaanNYA. Sekadar perkongsian rasa semasa aku masih seorang pelajar sekolah menengah suatu ketika dahulu.

Wednesday, February 2, 2011

cinta....


Cinta…satu kosa kata yang sangat indah dan menarik, disebut-sebut serta menjadi buaian mimpi buat manusia tidak kira usia, bangsa, agama dan sebagainya terutama dikalangan anak-anak remaja hari ini. Menurut kamus dewan, cinta bolehlah ditafsirkan sebagai suatu perasaan sayang dan kasih kepada sesuatu yang lain. Cinta merupakan suatu perasaan yang lahir jauh di lubuk hati dan bak kata remaja hari ini kadang-kadang sangat untuk ditafsirkan. Di manakah lahirnya rasa cinta itu???sememangnya rasa cinta itu pasti wujud dalam setiap diri insan. Tiada insan yang mampu menidakkan dan menafikan kehadiran perasaan ini. Inilah yang dikatakan fitrah manusia. Pelbagai simptom yang mengzahirkan wujudnya rasa cinta itu. Bak kata orang dulu-dulu “mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena”
Fenomena cinta yang sentiasa menjadi gambaran

  •  Selalu ingin bersama dengan si dia
  •  Selalui merindui si dia
  • Selalu menyebut nama si dia
  • Selalu ingin dekat dengan si dia
  • Selalu ingin lakukan yang terbaik untuk si dia
Cinta membuatkan manusia angau, sawan dan kadang-kadang hilang akal. Begitulah cinta, sepertimana gambaran anak muda kini umpama mabuk cinta. Terdapat pelbagai aplikasi cinta yang wujud di bumi Allah ini yang boleh dibahagikan kepada
  1.        Cinta sesama manusia
  2.        Cinta kepada makhluk
  3.        Cinta kepada bukan hidup
  4.        Cinta kepada Allah
  5.        Cinta kepada Rasulullah
Cinta sesama manusia
Cinta yang paling popular untuk diaplikasikan. Cinta berlainan jantina tanpa ada ikatan yang sah menjadi igauan kebanyakan pemuda dan pemudi masa kini hingga membawa mereka hanyut dalam angan-angan yang dianggap sentiasa indah dan bahagia. Namun, ramai diantara mereka yang lupa cinta kepada manusia yang perlu lebih diutamakan iaitu cinta kepada diri sendiri, cinta kepada ibu dan ayah, cinta kepada ahli keluarga yang lebih memberi makna dan turut menjadi tuntutan dalam islam.

Cinta kepada makhluk
Cinta terhadap haiwan, alam dan sebagainya yang mungkin juga dizahirkan oleh sesetengah manusia di bumi ini. Terbukti dengan ungkapan dan slogan yang semakin kerap dipromosikan seperti pencinta alam, pencinta haiwan dan sebagainya yang menuntut manusia untuk menghargai makhluk-makhluk Allah ini.

Cinta kepada bukan hidup
Cinta dunia, cinta harta, cinta wang, cinta rumah besar, cinta kereta mewah dan sebagainya yang begitu sinonim pada hari ini. Cinta yang membuatkan manusia menjadi hamba kepada sesuatu yang tidak hidup ini. Masing-masing berusaha keras untuk mendapatkannya yang kadang-kadang menyebabkan ada yang terabai, ada yang ditinggalkan dan ada yang terkorban.

Cinta kepada Rasulullah
Cinta yang sering dilupakan dan diketepikan. Rasulullah yang menjadi qudwah hasanah kepada umat islam dan pembawa rahmat pada sekelian alam sejak dari 1500 tahun dahulu hinggalah ke hari ini. Cinta yang lebih patut diutamakan kerana usaha baginda dan para sahabat, kita dapat merasai nikmat iman dan islam. Baginda seorang yang sangat pengasih dan penyayang (pencinta) sepertimana sirah yang selalu diulang-ulang cerita ketika Rasulullah hendak wafat, perkataan yang meniti bibir baginda adalah “ ummati, ummati, ummati” yang bermaksud umatku tetapi kita sebagai umatnya begitu mudah melupakan cinta baginda.

Cinta kepada Allah
Cinta agung yang membawa segala erti kehidupan. Rasa cinta yang membuat manusia menjadi insan rabbani. Cinta yang mebuatkan manusia mampu melaksanakan segala perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Cinta yang membawa manusia menuju syurga abadi yang menjadi impian hampir seluruh umat manusia. Manusia sering lupa padaNYA namun Allah itu tidak pernah lupa pada kita. Jika kita hilang segalanya di dunia ini, kita bertuah kerana masih ada Allah, masih boleh mencariNYA dalam ibadah dan sebagainya.
Begitulah beberapa huraian cinta menurut aku. Fenomena hari ini, lebih ramai manusia mengagungkan cinta manusia umpama cinta laila dan majnun, cinta shah jehan dan mumtaz yang sering menjadi monumen cinta. Begitu juga cinta pada yang lain selain Allah dan rasulNYA. Ucapan syahadah yang menjadi rukun islam bukan semata meniti dibibir namun perlu dizahirkan dengan amalan barulah benar ucapan syahadah itu dalam rangka untuk membina iman yang teguh. Carilah cinta Allah dan rasulNYA, nescaya cinta-cinta lain akan mencari cinta kita kerana cinta Allah dan rasulNYA mampu melahirkan insan yang sangat pengasih, penyayang, pencinta dan sebagainya yang akan membuatkan cinta lain menuruti dan hadir dalam hidup kita. Percayalah, cinta Allah dan rasulNYA adalah segalanya.

Alangkah indahnya jika kita
  • Selalu ingin bersama dengan Allah dan Rasulullah
  • Selalui merindui Allah dan Rasulullah
  • Selalu menyebut nama Allah dan Rasulullah
  • Selalu ingin dekat dengan Allah dan Rasulullah 
  • Selalu ingin lakukan yang terbaik untuk Allah dan Rasulullah

Ya Allah, KAu limpahkan rasa cinta yang wujud dalam lubuk hati ini untuk mengagungkan cinta kepadaMU dan rasulMU, aku percaya cinta-cinta lain akan turut hadir dalam hidupku. Kepercayaanku dengan rasa cinta ini akan lebih memberi ketenangan dan kebahagian di dunia dan akhirat, semoga aku terus beriman dan sentiasa berada di atas landasan syarak dan redhaMU ya Rahman….



Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (surah at-taubah:24)



Wednesday, January 19, 2011

Rumahku syurgaku…

Semuanya bermula dari sebuah rumah kerana di dalamnya ada sebuah keluarga yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat. Pembentukan jati diri insan juga bermula dengan didikan di rumah sehinggalah kita menjadi diri kita hari ini. Didikan yang baik di rumah, menghasilkan insan yang terbaik dalam masyarakat,insyaallah. Institusi yang sangat di titik beratkan terutama dalam islam sendiri. Bermulanya dengan dua pengantin yang berjanji untuk bersama dalam susah dan senang di samping memenuhi sunnah Rasulullah. Memegang konsep membina baitul muslim dan baitul dakwah dalam pernikahan penuh barakah serta mengimpikan anak-anak yang soleh dan solehah. Sekadar coretan rindu pada keluargaku yang tercinta…ini adalah keluargaku. Aku merupakan anak sulung daripada 8 orang adik beradik. Aku mempunyai ibu dan ayah yang aku panggil umi dan abah yang begitu amat pengasih dan mengambil berat tentang anak-anaknya. Abahku merupakan seorang ayah yang sangat prihatin terhadap anak-anaknya dalam diam.  Abah memang seorang yang agak pendiam di rumah. Aku dan adik-adik bahkan umi juga jarang dapat berbual dengannya ditambah lagi dengan urusan kerjanya yang begitu sibuk. Namun aku tahu, abah sangat menyayangi kami. Abah memang seorang ayah yang tegas dan mempunyai prinsip hidup yang teguh. Banyak perkara yang aku dapat pelajari dan fahami sebagai bekalan aku meneruskan kehidupan ini. Terima kasih abah.  Ibuku pula seorang guru di sebuah sekolah dan dia juga merupakan guru kepada kami adik beradik. Umi seorang yang sangat penyayang dan mudah bersimpati. Sifatnya telah menjadikannya sebagai ibu yang terbaik buat kami. Tidak pernah kenal penat lelah, susah payah, perit jerih menjaga, membesarkan dan mendidik kami agar menjadi insan, anak dan mukmin yang soleh dan solehah. Umi juga menjadi tempat kami mengadu kebanyakan hal dan umi tidak pernah jemu melayan kerenah kami dari kecil hinggalah kami besar. Terima kasih umi.  Adik yang paling hampir dengan aku adalah akmal yang kami panggil angah. Seorang yang amat focus dalam kerjanya dan bersungguh-sungguh dalam semua hal. Angah juga merupakan seorang yang bertanggungjawab sehingga di setiap sekolah yang dia pergi , akan dilantik menjadi pengawas. Namun begitu, angah seorang yang mudah untuk runsing apabila menghadapi masalah dan umi lah yamg menjadi tempat mengadu. Iqbal atau achik adalah seorang yang rendah diri tapi sangat tegas dan berterus terang. Seorang yang sangat menggemari bidang seni dan sangat tekun memperingkatkan skilnya. Kini meneruskan pelajarannya di UiTM Shah Alam dalm jurusan senibina dan dia juga telah menjadi graduan diploma perakaunan di KTD. Safwan pula merupakan adik yang mempunyai impian yang tinggi. Merupakan seorang yang peramah dan pandai mengambil hati terutama kanak-kanak. Amat berminat untuk menceburi bidang jurukur selepas menamatkan SPM dan kini nmeneruskan pelajarannya ke ipt.  Juga seorang yang suka berdebat dan tegas dengan pendapatnya.  Nadhirah atau nama panggilannya kak na merupkan adik perempuan sulung dalam keluarga kami. Seorang yang sangat ringan tulang membantu umi membuat kerja-kerja rumah. Kak na mempunyai banyak persamaan sifat dengan angah. Seorang yang rajin dan bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Syafiq pula seorang yang agak keras kepala dan suka membuat halnya sendiri. Namun, syafiq seorang yang sangat mudah untuk membantu orang lain. Sekarang syafiq telah banyak berubah sejak masuk ke MATRI dari segi fizikal,akhlak dan sebagainya. Dia semakin tinggi dan telah menceburi sukan bola tampar seperti along juga suatu masa dulu.Afiqah pula seorang yang sederhana dan agak pendiam. Seorang yang susah berkawan namun setia dalam persahabatan. Malah, iqah juga seorang yang sangat ringan tulang untuk membantu orang lain. Seorang yang sangat mudah untuk dibawa bergurau. Akhir sekali,adik bongsu kami iaitu wan hazmi. Sudah berumur 8 tahun tetapi sangat petah bercakap dan berkata-kata. Seorag yang sangat manja dengan umi. Selain itu, hazmi juga seorang yang cepat belajar dan umi berhajat untuk menjadikannya seorang hafiz.  Inilah ahli keluargaku yang sentiasa disisiku ketika susah dan senang. Along minta maaf kepada semua kerana along mungkin bukan anak, mahupun abang yang terbaik kerana banyak kekurangan namun along sangat menyayangi keluarga ini dan along akan cuba untuk beri yang terbaik, insyaallah..