Tuesday, March 15, 2011

Puitis biologi…(suatu ketika)

Suatu petang yang hening, terasa damai di hati ini bagi seorang graduan UiTM Shah Alam dalam jurusan kejuruteraan awam yang masih lagi menunggu tawaran kerja dari mana-mana syarikat yang sudi mengambil aku berkhidmat. Mencari sesuatu yang berfaedah untuk mengisi masa luangku yang sememangnya sangat terluang. Buku-buku yang tersusun bertingkat-tingkat di atas lantai bilik tidur kami adalah kenangan sewaktu aku masih menuntut di universiti. Pelbagai judul buku yang terdapat di situ. Satu persatu aku belek dengan niat untuk mengemas sebenarnya, disamping mencari bahan-bahan yang masih boleh digunakan. Tiba- tiba, tangan aku mencapai satu fail merah yang sangat usang, di dalamnya terdapat pelbagai barangan dan kertas –kertas yang begitu memberi makna kepada aku sejak dari sekolah menengah lagi. Setiap kali menatap fail ini, pasti pelbagai peristiwa lalu bagaikan sengaja diputarkan di dalam minda imaginasi aku, seolah-olah aku sedang menonton televisyen. Dalam berpuluh-puluh helaian kertas itu, terdapat sehelai kertas A4 yang aku lihat sudah agak kekuningan, mungkin disebabkan dimamah usianya. Di  atas kertas itu tercatit suatu yang istimewa sebenarnya, ada cerita disebaliknya. Suatu puisi semasa aku di tingkatan 4, sekadar suka-suka untuk mengisi ruang buku amal kelas bagi mengumpulkan sedikit dana untuk kelas kami. Inilah puisi yang terlukir di situ

Tajuk : Ameba

Ameba,
Kau hidup di air tawar,
Walaupun kau unisel,
Kau senantiasa bersyukur,
Ke hadrat  Illahi yang Maha Pencipta.

Ameba,
Walaupun kau sangat kecil,
Tidak dapat dilihat dek mata,
Tetapi siapa sangka,
Kau dapat hidup dan mencari makanan.

Ameba,
Kau juga seperti hidupan lain,
Iaitu perlu kepada keturunan,
Agar tidak lenyap spesismu,
Belahan dedua dan spora itulah caranya.

Ameba,
walaupun saizmu kecil,
Siapa sangka kau sentiasa berdoa,
Agar manusia diberi kebaikan oleh Allah s.w.t,
Walaupun manusia tidak menghargainya.

Ameba,
 Walau aku adalah hamba Allah yang multisel,
 Tapi kurasakan kau jauh lebih baik dariku,
Kerana kau sentiasa patuh arahan Allah dan sentiasa berzikir,
Berbanding diriku yang kadangkala melanggar perintah Allah,
Dan kadangkala melupai Allah s.w.t.

Ameba adalah makhluk Allah yang unisel, itulah yang masih tersisa di dalam ingatanku. Ia menjadi inspirasi kepada aku untuk sentiasa merendah diri pada Allah s.w.t. Bertahun telah berlalu, semoga semua ini diberi ganjaran Allah dan di beri keredhaanNYA. Sekadar perkongsian rasa semasa aku masih seorang pelajar sekolah menengah suatu ketika dahulu.