Wednesday, February 2, 2011

cinta....


Cinta…satu kosa kata yang sangat indah dan menarik, disebut-sebut serta menjadi buaian mimpi buat manusia tidak kira usia, bangsa, agama dan sebagainya terutama dikalangan anak-anak remaja hari ini. Menurut kamus dewan, cinta bolehlah ditafsirkan sebagai suatu perasaan sayang dan kasih kepada sesuatu yang lain. Cinta merupakan suatu perasaan yang lahir jauh di lubuk hati dan bak kata remaja hari ini kadang-kadang sangat untuk ditafsirkan. Di manakah lahirnya rasa cinta itu???sememangnya rasa cinta itu pasti wujud dalam setiap diri insan. Tiada insan yang mampu menidakkan dan menafikan kehadiran perasaan ini. Inilah yang dikatakan fitrah manusia. Pelbagai simptom yang mengzahirkan wujudnya rasa cinta itu. Bak kata orang dulu-dulu “mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena”
Fenomena cinta yang sentiasa menjadi gambaran

  •  Selalu ingin bersama dengan si dia
  •  Selalui merindui si dia
  • Selalu menyebut nama si dia
  • Selalu ingin dekat dengan si dia
  • Selalu ingin lakukan yang terbaik untuk si dia
Cinta membuatkan manusia angau, sawan dan kadang-kadang hilang akal. Begitulah cinta, sepertimana gambaran anak muda kini umpama mabuk cinta. Terdapat pelbagai aplikasi cinta yang wujud di bumi Allah ini yang boleh dibahagikan kepada
  1.        Cinta sesama manusia
  2.        Cinta kepada makhluk
  3.        Cinta kepada bukan hidup
  4.        Cinta kepada Allah
  5.        Cinta kepada Rasulullah
Cinta sesama manusia
Cinta yang paling popular untuk diaplikasikan. Cinta berlainan jantina tanpa ada ikatan yang sah menjadi igauan kebanyakan pemuda dan pemudi masa kini hingga membawa mereka hanyut dalam angan-angan yang dianggap sentiasa indah dan bahagia. Namun, ramai diantara mereka yang lupa cinta kepada manusia yang perlu lebih diutamakan iaitu cinta kepada diri sendiri, cinta kepada ibu dan ayah, cinta kepada ahli keluarga yang lebih memberi makna dan turut menjadi tuntutan dalam islam.

Cinta kepada makhluk
Cinta terhadap haiwan, alam dan sebagainya yang mungkin juga dizahirkan oleh sesetengah manusia di bumi ini. Terbukti dengan ungkapan dan slogan yang semakin kerap dipromosikan seperti pencinta alam, pencinta haiwan dan sebagainya yang menuntut manusia untuk menghargai makhluk-makhluk Allah ini.

Cinta kepada bukan hidup
Cinta dunia, cinta harta, cinta wang, cinta rumah besar, cinta kereta mewah dan sebagainya yang begitu sinonim pada hari ini. Cinta yang membuatkan manusia menjadi hamba kepada sesuatu yang tidak hidup ini. Masing-masing berusaha keras untuk mendapatkannya yang kadang-kadang menyebabkan ada yang terabai, ada yang ditinggalkan dan ada yang terkorban.

Cinta kepada Rasulullah
Cinta yang sering dilupakan dan diketepikan. Rasulullah yang menjadi qudwah hasanah kepada umat islam dan pembawa rahmat pada sekelian alam sejak dari 1500 tahun dahulu hinggalah ke hari ini. Cinta yang lebih patut diutamakan kerana usaha baginda dan para sahabat, kita dapat merasai nikmat iman dan islam. Baginda seorang yang sangat pengasih dan penyayang (pencinta) sepertimana sirah yang selalu diulang-ulang cerita ketika Rasulullah hendak wafat, perkataan yang meniti bibir baginda adalah “ ummati, ummati, ummati” yang bermaksud umatku tetapi kita sebagai umatnya begitu mudah melupakan cinta baginda.

Cinta kepada Allah
Cinta agung yang membawa segala erti kehidupan. Rasa cinta yang membuat manusia menjadi insan rabbani. Cinta yang mebuatkan manusia mampu melaksanakan segala perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Cinta yang membawa manusia menuju syurga abadi yang menjadi impian hampir seluruh umat manusia. Manusia sering lupa padaNYA namun Allah itu tidak pernah lupa pada kita. Jika kita hilang segalanya di dunia ini, kita bertuah kerana masih ada Allah, masih boleh mencariNYA dalam ibadah dan sebagainya.
Begitulah beberapa huraian cinta menurut aku. Fenomena hari ini, lebih ramai manusia mengagungkan cinta manusia umpama cinta laila dan majnun, cinta shah jehan dan mumtaz yang sering menjadi monumen cinta. Begitu juga cinta pada yang lain selain Allah dan rasulNYA. Ucapan syahadah yang menjadi rukun islam bukan semata meniti dibibir namun perlu dizahirkan dengan amalan barulah benar ucapan syahadah itu dalam rangka untuk membina iman yang teguh. Carilah cinta Allah dan rasulNYA, nescaya cinta-cinta lain akan mencari cinta kita kerana cinta Allah dan rasulNYA mampu melahirkan insan yang sangat pengasih, penyayang, pencinta dan sebagainya yang akan membuatkan cinta lain menuruti dan hadir dalam hidup kita. Percayalah, cinta Allah dan rasulNYA adalah segalanya.

Alangkah indahnya jika kita
  • Selalu ingin bersama dengan Allah dan Rasulullah
  • Selalui merindui Allah dan Rasulullah
  • Selalu menyebut nama Allah dan Rasulullah
  • Selalu ingin dekat dengan Allah dan Rasulullah 
  • Selalu ingin lakukan yang terbaik untuk Allah dan Rasulullah

Ya Allah, KAu limpahkan rasa cinta yang wujud dalam lubuk hati ini untuk mengagungkan cinta kepadaMU dan rasulMU, aku percaya cinta-cinta lain akan turut hadir dalam hidupku. Kepercayaanku dengan rasa cinta ini akan lebih memberi ketenangan dan kebahagian di dunia dan akhirat, semoga aku terus beriman dan sentiasa berada di atas landasan syarak dan redhaMU ya Rahman….



Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (surah at-taubah:24)